September
25
Posted on 25-09-2007
Filed Under (isu semasa) by rozifah.adi@smjk.edu.my

       Setiap tahun kerajaan memperuntukkan wang berjuta-juta ringgit untuk membaiki kemudahan infrastruktur terutamanya sistem jalan raya di negara kita. Tujuan utama kerajaan adalah untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya serta memendekkan perjalanan yang jauh. Namun, keselesaan ini sering disalahgunakan oleh pengguna jalan raya. Kesannya, kes-kes kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap tahun terutama pada musim perayaan. Mengapa perkara seperti ini boleh berlaku?

       Kecuaian pengguna jalan raya telah dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya kes-kes kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya dikatakan cuai apabila tidak melaksanakan dengan bijak peranan mereka sebagai pemandu. Contohnya tidak servis kereta sebelum memulakan perjalanan yang jauh, kemungkinan brek kenderaan rosak. Sering juga mereka tidak mengutamakan keselamatan diri sendiri seperti tidak memakai topi keledar atau tidak memasang tali pinggang keledar semasa menaiki kenderaan. Jelaslah di sini pengguna jalan raya yang cuai boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.       Di samping itu, tidak mematuhi peraturan jalan raya juga merupakan faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya yang terdiri daripada mereka yang telah mengikuti kursus undang-undang jalan raya semasa proses memperoleh lesen sering memandang ringan perkara ini. Contohnya memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan, melanggar lampu isyarat, dan sebagainya. Perbuatan seperti ini akan mengundang kepada kemalangan jalan raya.       Sikap mementingkan diri sendiri juga menyumbang kepada meningkatnya kemalangan jalan raya. Semasa berada di jalan raya, merekalah ‘raja’, iaitu berlumba untuk cepat sampai ke destinasi masing-masing. Penunggang motosikal yang terdiri daripada golongan remaja menjadikan jalan raya sebagai gelanggang perlumbaan.       Selain itu, pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk juga merupakan faktor penyebab. Mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah nyawa orang lain. Perkara ini sering berlaku pada waktu malam dan awal pagi, iaitu semasa perjalanan pulang dari pub atau disko.       Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama membendung masalah ini. Selaras dengan kempen “Hargailah Nyawa” pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia turut memainkan peranan mereka seperti mengadakan Ops Statik setiap kali musim perayaan. Harapan akan menjadi realiti sekiranya sikap bertimbang rasa di kalangan pengguna jalan raya dapat diwujudkan.

(1) Comment    Read More   

Comments

\ on 19 June, 2009 at 1:51 am #

56.8743818001822…

78.1404549950967…


Post a Comment

You must be logged in to post a comment.

This site is protected by Comment SPAM Wiper.